Bendang Homes — Staycation Kampung Style di Sekinchan

Kredit foto: Bendang Homes @ Airbnb

Baru-baru ini, saya dan keluarga berpeluang menginap di sebuah Airbnb yang cukup unik di Sekinchan. Dari luar, rumah ini sudah pun memberi vibe kampung yang sangat klasik. Bukan satu, tapi dua buah rumah kampung yang berdiri di tengah-tengah kawasan sawah padi yang terbentang luas. Sampai anak saya pun terus gelar tempat ni sebagai 'Rumah Upin Ipin'! Dan ya, memang kena sangat nama tu sebab suasana dan reka bentuk rumah betul-betul mengimbau kenangan zaman kecil dulu.

Apa yang menjadikan tempat ni lebih best, banyak sangat aktiviti yang disediakan untuk seisi keluarga. Di perkarangan rumah, ada ruang luas untuk main badminton, dan ada juga “bowling kampung” guna buah kelapa. Satu idea yang kelakar tapi sangat menghiburkan! Tak cukup dengan itu, ada juga hoop bola keranjang kalau nak beraksi sikit dengan skill shooting.

Antara sudut kegemaran saya adalah gazebo yang dilengkapi dengan bantal-bantal – memang port paling syok untuk lepak waktu petang sambil layan angin sepoi-sepoi dari sawah. Kalau jenis suka bergambar, depan rumah pula ada buaian klasik yang bukan saja comel tapi ‘instagrammable’ sangat!

Malam pula? Suasana memang sangat tenang. Tiada bunyi deruan ombak macam di tepi pantai, tapi sebaliknya kedamaian yang sukar digambarkan. Tenang yang lain macam—rasa macam segala penat lelah harian terus hilang begitu saja. Dan sebab sawah padi tu terbentang luas betul-betul di depan rumah, kita rasa macam ada “sense of space” yang luar biasa.

Tempat ni juga sediakan joran untuk siapa yang suka memancing. Ada parit berdekatan yang boleh cuba nasib pancing ikan. Selain itu, disediakan juga basikal untuk ronda-ronda kawasan kampung. Saya dan keluarga pun sempat berbasikal pagi tu, dan itu antara momen paling best—udara segar, pemandangan kampung, senyuman penduduk tempatan… priceless.


Satu lagi benda comel yang ada kat sini: koleksi pakaian klasik ala nenek-nenek zaman dulu, siap untuk sesi bergambar! Sayangnya, saya tak sempat nak try. Tapi next time confirm akan posing cukup-cukup.

Apa yang buatkan pengalaman ni lebih manis, tuan rumah sangat baik dan ramah. Anak tuan rumah pula lebih kurang sebaya anak saya, dan mereka terus jadi geng main petang tu—sampai 3-4 jam main tak berhenti! Bukan senang nak jumpa tempat yang anak-anak pun enjoy sepenuhnya.

Kalau nak datang sini, saya sangat sarankan untuk tanya dulu dengan owner bila waktu padi sedang naik atau menguning. Kami memang plan awal dan tanya siap-siap supaya dapat experience stay dengan view sawah yang paling cantik. Kalau datang waktu tak kena musim, memang tak dapatlah view hijau atau kuning yang menenangkan tu.

Oh ya, rumah ni juga lengkap dengan meja makan dan tempat BBQ. Jadi kalau tiba-tiba rasa nak buat BBQ malam-malam, memang dah tersedia semua kemudahan.

Kesimpulannya: saya memang sangat-sangat puas hati dengan staycation kampung style ni. Anak-anak seronok, kami pun rasa tenang, dan yang penting, rasa macam balik kampung sendiri. Insya-Allah, memang nak repeat lagi satu hari nanti.